fbpx

Trend, aspek komersial dunia fesyen 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KREATIVITI menghasilkan rekaan perlu untuk memastikan sentiasa relevan dalam industri.

Oleh FAIZAL HAMID

INDUSTRI fesyen global bukan hanya mengenai pakaian sahaja, ia lebih kepada industri yang berkembang pesat dan merupakan cabang perniagaan yang menyentuh hampir semua lapisan masyarakat.

Kita juga perlu akui bahawa pasaran industri fesyen di Asia masih lagi berteraskan fesyen yang praktikal dan komersial. Konsep perniagaan tersebut yang paling meraih pulangan paling lumayan buat masa ini.

Justeru adalah amat perlu bagi mereka yang mahu menceburkan diri dalam industri fesyen faham tentang ekonomi pasaran tempatan. Pereka perlu menyediakan diri mereka dengan sebanyak mungkin kepakaran perniagaan dan juga kemahiran-kemahiran lain yang boleh mengimbangi serta membantu karya-karya kreatif mereka.

Industri ini bukan berkiblatkan glamor semata-mata, tetapi sebenarnya memerlukan kerja keras, kesabaran, ketabahan, pengetahuan dan kefahaman mendalam tentang bagaimana industri ini berkembang.

Pereka perlu sentiasa bersedia dengan kehendak pasaran, trend dan cita rasa sentiasa bertukar. Perlu diingat juga industri fesyen terlalu banyak saingannya.

Anda mungkin menjadi pilihan dan popular pada bulan ini tetapi jika gagal untuk menarik perhatian dan menghasilkan sesuatu yang hebat, anda mungkin akan dilupakan lebih pantas daripada apa yang dijangkakan.

Kebanyakan kejayaan mereka dalam industri ini juga adalah bertitik tolak daripada usaha mereka mengekalkan komunikasi efektif dan baik sama ada dengan rakan sekerja atau pelanggan.

Ketajaman intuisi terhadap fesyen dan kepekaan terhadap keindahan alam sekeliling secara umumnya menjadi inspirasi serta kunci utama kejayaan seseorang pereka.

Rekaan yang bagus tidak sekadar mengikut kata hati semata-mata, tetapi merangkumi kehebatan penyelidikan, uji kaji, inspirasi dan kecekapan mentafsirkan aliran yang bakal menjadi ikutan berdasarkan perubahan demografi, tingkah laku dan gaya hidup manusia.

Analisa inilah yang akan memberi gambaran atau ramalan rekaan yang mungkin diperlukan oleh pengguna pada masa depan.

Berikut antara perkara yang harus diberikan penekanan oleh para pereka atau pemain fesyen dalam mendepani cabaran industri ini pada tahun 2022.

1. Kepentingan aspek komersial

Perlu ada kesedaran tentang kepentingan aspek komersial dalam hasil rekaan. Dari aspek ekonomi dan estetika, walaupun fesyen berkait rapat dengan kreativiti, kepentingan aspek perniagaan seperti penjenamaan dan pemasaran hasil sesuatu rekaan perlu juga diambil kira.

Kepekaan dalam menggabungkan aspek ekonomi dan hasil seni adalah tunjang kepada kejayaan setiap pereka.

Selain daripada pengetahuan asas rekaan, pelajar perlu faham akan aspek ekonomi di sebalik industri yang diceburinya.

2. Kekuatan pasaran

Pasaran di Malaysia agak kecil. Setiap pasaran ada had atau batasnya. Oleh itu terpulang kepada para pereka untuk mengetahui kekuatan pasaran bagi mempertingkat atau menambah hadnya dan menghasilkan sesuatu yang boleh memberi faedah serta manfaat kepada semua.

Sememangnya tiada cara untuk berjaya dalam masa yang singkat. Kejayaan tidak datang dengan sebegitu mudah.
Kita perlu untuk mempunyai kesungguhan dan bersedia bekerja bagi mengecapinya.

Paling penting, kita seharusnya terus memacu usaha untuk menjadi pencetus trend global dalam memartabatkan fesyen dengan identiti Malaysia yang tulen.

UNTUK maju dalam bidang fesyen, para pereka fesyen perlu mengikuti trend global.

3. Menjana kreativiti

Pereka perlu akui bahawa menjadi kreatif sahaja tidak mencukupi.

Pereka harus tahu bagaimana untuk menjana kreativiti kerana tidak semua insan kreatif dapat membawa seni ke tahap yang lebih tinggi atau dapat menggunakan kemahiran mereka sebagai sesuatu yang boleh menjana ekonomi.

Antara sebabnya adalah segelintir mereka melihat rekaan fesyen sebagai suatu luahan idea dan bakat semata-mata.

Mereka kurang menerima pendedahan membabitkan aspek-aspek dan peluang perniagaan yang berkaitan dengan bidang fesyen selari dengan kehendak pasaran semasa.

Pereka juga perlu sedar bahawa kreativiti, kemahiran dan bakat jika digunakan dengan bijak boleh menangani krisis kewangan.

4. Trend global

Pereka perlu lebih mendampingi industri fesyen bagi lebih memahami akan kehendak pasaran. Untuk maju dalam bidang fesyen, kita perlu mengikuti trend global serta semangat meningkatkan pencapaian diri.

Perlu juga cuba berusaha melahirkan lebih banyak karya rekaan yang mempunyai identitti Malaysia yang menjadi kebanggaan. Paling penting, pereka perlu menyuntik elemen segar dalam diri mereka.

Mereka juga hendaklah bekerja keras membuat lebih banyak penyelidikan, kerja-kerja perundingan profesional dan segala yang berkaitan untuk memastikan kita selari dengan trend semasa dan lebih relevan kepada kehendak industri.

Pereka perlu memanfaatkan segala saluran jaringan yang ada (networking) dalam industri. Melalui jaringan perhubungan ini, kita akan lebih berkeyakinan kerana pendedahan yang diterima adalah lebih meluas dan terkini.
——————————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI