PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya langsung tidak terkesan dengan kecaman netizen yang mempertikaikan caranya menggunakan ‘water jet’ dengan cara yang salah ketika membersihkan sebuah dewan yang dipenuhi lumpur banjir di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Sebaliknya ujar Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 36, itu, kecaman tersebut membuatkan dia menjadi lebih bersemangat untuk menjadikan nama pertubuhan miliknya, ZaraPrihatin lebih dikenali.
“Normallah, tak kira apa kita buat. Tetap akan ada yang bercakap pasal orang lain. Isu tempoh hari tak ada masalah, saya okey saja. Benda itu tak beri kesan.
“Sebaliknya bagi saya lebih bersemangat dan pada masa sama agar ZaraPrihatin lebih dikenali. Dari situ, lebih ramai orang nak jadi sukarelawan dan dapat mendidik masyarakat terutama golongan remaja yang baru habis belajar dan tak tahu nak buat apa.
“Ada banyak cara untuk bantu orang, bukan dengan duit semata-mata. Contohnya sumbangkan tenaga dan mendengar luahan atau ‘trauma healing’ buat mereka yang terkesan dengan musibah seperti banjir besar baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Pelakon drama Mr. Bibik itu aktif turun padang membantu mangsa banjir bersama pasukan pertubuhan bukan kerajaan miliknya, ZaraPrihatin di sekitar Hulu Langat, Selangor dan Temerloh, Pahang.
Katanya, dia lebih gemar turun padang dan bertemu dengan mangsa banjir untuk mengetahui apa yang diperlukan oleh mereka.
“Saya lebih suka dekat dengan mangsa banjir. Berbual dengan mereka untuk tahu apa yang diperlukan. Selalunya kalau selebriti turun padang pun mereka dah gembira, apatah lagi kalau luangkan masa berbual.
“Lagipun orang perlu tahu apa NGO saya buat. Lagi-lagi untuk orang yang bagi dana. NGO saya sentiasa aktif dan mereka perlu tahu wang yang disalurkan keluar ke mana,” jelasnya.
Sejak beberapa negeri dilanda banjir besar hujung Disember lalu, ramai selebriti turun padang menyalurkan bantuan kepada mangsa terkesan antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Nora Danish dan Sharifah Shahira. – K! ONLINE