MANCHESTER – Hasrat penggempur Manchester United, Edinson Cavani untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini mungkin tidak kesampaian apabila bakal dihalang pengurus pasukan itu, Ralf Rangnick.
Rangnick dilaporkan cuba untuk mengehadkan bilangan pemainnya yang akan meninggalkan pasukan dan Cavani masih dianggap antara tonggak penting pasukan itu bagi mengharungi baki saingan musim ini.
Pemain antarabangsa Uruguay itu bersetuju untuk kekal semusim lagi pada musim panas lalu sebelum Cristiano Ronaldo membuat kepulangan mengejutkan ke Old Trafford sekali gus menyekat peluangnya untuk beraksi selain masalah kecederaan yang dialami.
Spekulasi mengenai masa depan Cavani bertebaran sejak beberapa bulan lalu mengaitkannya dengan Barcelona dan Boca Juniors, namun Rangnick mengesahkan bahawa penyerangnya itu tidak akan dilepaskan sehingga kontraknya tamat Jun nanti.
Rangnick berpendapat bahawa United hanya memiliki Cavani seorang sahaja yang mampu beraksi sebagai penyerang tulen pasukan itu menyebabkan khidmatnya masih diperlukan.
“Edi tahu bahawa saya tidak akan membenarkannya pergi meninggalkan pasukan ini. Dia adalah pemain yang sangat penting untuk pasukan ini sekurang-kurang sehingga musim ini berakhir. Pada saya adalah jelas bahawa Edi perlu kekal.
“Kami sempat mengadakan perbincangan sejak beberapa minggu lalu. Dia adalah pemain yang paling banyak kali saya bercakap dalam pasukan ini.
“Dari hari pertama saya tiba di kelab ini, saya sudah memberitahu bahawa dia adalah pemain yang sangat penting. Tiada pemain dalam pasukan ini memiliki peranan sepertinya menyebabkan dia perlu berada di sini,” jelasnya. – AGENSI