PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menerima tamparan hebat apabila penyerang utama, Lionel Messi bersama tiga lagi pemain disahkan positif Covid-19 sekali gus perlu menjalani kuarantin buat sementara waktu.
Selain Messi, tiga lagi pemain PSG yang dijangkiti virus Covid-19 adalah tonggak pertahanan, Juan Bernat; penjaga gol, Sergio Rico dan pemain tengah, Nathan Bitumazala.
Ketua jurulatih PSG, Mauricio Pochettino mengakui, Messi yang ketika ini berada di Argentina berkemungkinan besar terlepas aksi Ligue 1 bertemu seteru tradisi, Lyon di Stadium Groupama minggu depan.
“Pegawai perubatan kami berhubung rapat dengan Messi yang masih berada di Argentina selepas dilepaskan untuk cuti musim sejuk. Namun, dia tidak bernasib baik apabila disahkan positif Covid-19.
“Saya hanya boleh katakan apabila Messi disahkan negatif, barulah dia dibenarkan untuk terbang pulang ke Perancis.
“Namun, saya tidak tahu bila ia akan berlaku dan mungkin juga dia bakal terlepas aksi getir menentang Lyon minggu depan,” kata Pochettino.
Messi menyertai PSG daripada kelab gergasi La Liga, Barcelona pada Ogos lalu menerusi perpindahan secara percuma dan berjaya menjaringkan enam gol daripada 16 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.
Sebagai rekod, PSG ketika ini masih gah mengungguli carta Ligue 1 dengan mengutip 46 mata selepas mengharungi 19 perlawanan selain memiliki jurang 13 mata yang besar ke atas pencabar terdekat di tangga kedua, OGC Nice. – AGENSI