KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Polis Malaysia membuat satu laporan polis berhubung petisyen ‘Hilang kepercayaan kepada DYMM YDPA’ yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.
Presidennya, Mokhtar Omar berkata, laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 3.30 petang bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara ini.
“Saya mewakili persatuan ini melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang kononnya telah hilang kepercayaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Kita juga akan mengarahkan wakil persatuan di setiap negeri untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini bermula esok,” katanya ketika ditemui Kosmo! di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, laporan polis tersebut bertujuan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terperinci terhadap individu disebalik petisyen tersebut.
“Kita percaya petisyen terbabit berunsur penderhakaan dan boleh menghasut orang ramai membenci institusi diraja,” jelasnya.
Terdahulu, satu petisyen bertajuk ‘Hilang kepercayaan kepada DYMM YDPA’ yang telah ditandatangani kira-kira 1,295 individu telah tular di aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu.
Difahamkan, petisyen berkenaan dilakukan selepas kejadian banjir dan isu pembalakan yang berlaku baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan laporan polis tersebut.
“Saya mengesahkan telah menerima laporan polis yang dilakukan wakil Persatuan Bekas Polis Malaysia di IPD Dang Wangi hari ini.
“Siasatan berhubung perkara ini akan dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju,” jelasnya. -K! ONLINE