fbpx

Banjir, harga barang naik, Omicron sambut 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Hari ini hari keempat kita melangkah ke tahun 2022. Tahun yang dinantikan untuk kita membuka lembaran baru.

Ramai yang mengharapkan tahun 2022 adalah masa untuk ‘melangkah keluar’ dari fasa pandemik selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Siapa sangka di saat negara sudah mencapai sasaran imuniti berkelompok pada Oktober lalu, rakyat sudah dibenarkan merentas negeri dan ke luar negara, muncul pula varian baharu, Omicron.

Kes pertama melibatkan Omicron yang dikategorikan sebagai varian yang dibimbangi di negara ini direkodkan pada 3 Disember lalu membabitkan seorang pelajar warga asing yang tiba dari Afrika Selatan.

Pada 1 Januari lalu, sebanyak dua lagi kes Covid-19 disahkan Omicron menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 64 kes setakat ini.

Kelmarin Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan seperti negara-negara lain kemungkinan besar gelombang Omicron akan bermula di Malaysia dan langkah bersesesuain sedang dilakukan untuk memperlahankan penularan.

Kerana Omicron, puluhan ribu bakal jemaah umrah Malaysia yang sedang menghitung hari untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, sekali lagi terpaksa menangguhkan perjalanan mereka selepas kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula Sabtu ini.

Sudah pasti ramai yang kecewa, bukan sahaja bakal jemaah umrah tetapi syarikat pelancongan yang baru hendak bernafas semula. Tapi itulah realitinya, suka atau tidak, keselamatan rakyat perlu diutamakan.

Selain itu, isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja masih belum menemui titik noktah. Walaupun perkara ini sudah diumumkan, namun sehingga kini ia masih menjadi perbincangan hangat dalam media sosial.

Bagi mereka yang diuji dengan musibah banjir, sudah pasti sambutan tahun 2022 adalah berbeza. Manakan tidak tempat berteduh hilang dalam sekelip mata. Rumah yang selama ini menjadi syurga selama berdekad lamanya, lenyap dibawa arus deras. Kenderaan pula tersadai dipenuhi lumpur.

Tumpuan ketika ini sudah pasti untuk mengumpul kekuatan membina semula kehidupan. Biarpun mendapat bantuan, namun ketenangan yang dinikmati sebelum ini tidak sama.

Sekarang setiap kali hujan, pasti ada yang trauma dan berjaga-jaga bimbang rumah mereka dimasuki air sekali lagi.

Melangkah ke tahun baharu juga bermakna kita perlu bersedia dengan kenaikan harga barang. Pada Sabtu lalu semasa masuk ke sebuah kedai bakeri sudah ada notis pemberitahuan mengenai kenaikan harga pastri.

Jika cuaca tidak menentu dan pandemik masih membelenggu sudah pasti ia akan memberi kesan kepada harga barangan. Yang ‘sakit’ sudah tentu pengguna.

Sama-sama kita doakan wabak dan bencana bah ini segera berakhir. Kepada pembaca setia Kosmo! masih belum terlambat untuk saya ucapan Selamat tahun baru 2022. Tahniah juga Heliza yang kini bergelar Datin Seri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI