fbpx

Peniaga merintih hanya dapat untung 60 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZRIWANA menjual ayam pada harga RM9.10 seperti yang ditetapkan SHMKM di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu semalam.

PUTRAJAYA – Golongan peniaga menggesa kerajaan agar mengkaji semula keputusan melanjutkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) terhadap 12 jenis barangan yang dilanjutkan sehingga 4 Februari ini.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Pre­sint 8 di sini mendapati, rata-rata peniaga mahu SHMKM itu ditamatkan memandangkan ketika ini 12 jenis barangan yang terkandung dalam SHMKM semakin mudah didapati.

Bagi peniaga sayur-sayuran, Syahrul Azhan, 40, berkata, pengenalan SHMKM pada awalnya adalah satu keputusan yang wajar agar semua pihak mendapat manfaat.

Katanya, sebelum ini bekalan sayur-sayuran agak terhad dan sukar untuk diperolehi sehingga menyebabkan harga melambung tinggi selain faktor cuaca turut memainkan peranan penting.

“Namun, keputusan melanjutkan tempoh sehingga 4 Februari ini adalah tidak tepat kerana ketika ini bekalan tersebut mudah didapati.

“Bagi pemborong pula, mereka memperolehi bekalan sayuran dengan harga murah, namun menjualnya mahal. Peniaga pula terpaksa menjual dengan harga ditetapkan kerajaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebagai contoh, ujarnya, harga kacang panjang yang ditetapkan untuk dijual adalah RM6.50 sekilogram (kg), pemborong menjualnya kepada peniaga RM6 sekilogram tetapi kalau ikut keadaan semasa ketika ini harga kacang panjang terus dari pengusaha mungkin RM2 sekilogram.

SYAHRUL menunjukkan kacang panjang yang dijual di gerainya dengan harga yang telah ditetapkan kerajaan di Pasar Presint 8, Putrajaya semalam.

Untuk rekod, SHMKM terhadap 12 jenis barangan yang telah berakhir 31 Disember lalu dilanjutkan sehingga 4 Februari ini.

Di Bangi, tinjauan Kosmo! di Pasar Basah Bangi semalam mendapati, penjual mematuhi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila menjual ayam pada harga RM9.10 sekilogram.

Seorang penjual yang mahu dikenali sebagai Mat, berkata, dia hanya memperoleh untung sebanyak 60 sen untuk setiap sekilogram ayam setelah membeli ayam pada harga RM8.50 sekilogram daripada pemborong.

“Untung hanya 60 sen memberi kesan kepada perniagaan kerana menanggung kenaikan kos seperti upah pekerja warga asing, upah memotong ayam dan pengangkutan.

“Itu belum termasuk kos-kos lain seperti sewa premis, kos utiliti lain yang perlu dibayar seperti sewa air, elektrik pun sudah RM300 termasuk upah bayar pemandu untuk membuat penghantaran ayam kepada pelanggan,” katanya.

Di Kuala Terengganu, seorang peniaga, Azriwana Moha­mad, 41, yang berniaga di Pasar Bukit Besar berkata, meskipun meraih keuntungan kecil, rata-rata peniaga ayam di negeri ini akur dan mematuhi SHMKM dilaksanakan kerajaan.

“Saya dan peniaga lain menjual ayam pada harga siling ditetapkan KPDNHEP iaitu RM9.10 sekilogram.

“Walaupun cuma untung 30 sen bagi setiap kilogram ayam yang dijual, saya akur dengan keputusan kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya.

Katanya, peniaga akan ­bertambah tersepit sekiranya berlaku kenaikan harga di ­peringkat pembekal atau pen­ternak ayam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI