KANGAR – Keputusan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini turut menjejaskan pendapatan mutawif yang terlibat secara langsung dalam hal berkaitan pengurusan jemaah ibadah tersebut.
Seorang mutawif, Muhammad Akmal Yaacob, 33, berkata, kebanyakan mutawif umrah dan haji hilang pendapatan selama dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan ke luar negara yang dikuatkuasakan sebelum ini.
“Pendapatan kebanyakan mutawif sememangnya terjejas pada waktu itu dan sekarang kami baru bernafas semula selepas selepas ibadah umrah dibenarkan pada hujung tahun lalu, namun kami terpaksa akur arahan kerajaan demi kebaikan semua pihak,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Muhammad Akmal berharap arahan penangguhan perjalanan umrah itu hanya dalam tempoh sebulan dan penularan Covid-19 kembali reda bagi membolehkan urusan umrah serta haji dapat dilaksanakan pada tahun ini.
Beliau turut bercadang untuk mencari pekerjaan lain bagi menyara kehidupan sepanjang tempoh penangguhan sementara perjalanan umrah ini.
Difahamkan, pendapatan mutawif bergantung kepada trip perjalanan dan biasanya tiga trip dalam tempoh dua bulan dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada agensi pelancongan.
Sementara itu, bagi mutawif, Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, 41, penangguhan perjalanan ibadah umrah mengundang rasa sedih dan kecewa, namun terpaksa akur demi keselamatan semua pihak.
“Saya harap penangguhan ini tidak lama seperti sebelum ini dan diperluas kepada negara-negara lain yang mencatat kes Omicron,” ujarnya.