LONDON – Biarpun gagal mengekang kebangkitan Chelsea dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2, penolong jurulatih Liverpool, Pep Lijnders mengakui ia sudah cukup untuk membuatkan dirinya bangga.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam, Lijnders terpaksa memikul tanggungjawab memimpin pasukan itu selepas pengurus mereka, Jurgen Klopp sedang menjalani proses kuarantin akibat Covid-19.
Pada aksi tersebut juga, Lijnders tidak dapat menurunkan skuad terkuat apabila beberapa pemain seperti Thiago Alcantara, Divock Origi, Takumi Minamino, Harvey Elliott, Roberto Firmino, Alisson Becker, Joel Matip dan Andy Robertson berdepan masalah masing-masing.
“Kami sudah pun berada di depan 2-0 dan sepatutnya kami perlu mengawal permainan dengan lebih baik.
“Kami cukup cemerlang menerusi serangan balas pantas, para pemain juga mempunyai persefahaman yang baik menerusi hantaran pendek sehingga berjaya membuka peluang untuk mendapatkan jaringan.
“Namun, ada kalanya hantaran terakhir ataupun gerakan dari belakang perlu dilakukan lebih baik. Saya boleh bercakap lebih banyak tentang taktik, namun bagi saya keputusan ini sudah cukup hebat.
“Pemain berjuang dan akhirnya untuk meraih keputusan seri di tempat lawan adalah sesuatu yang cukup baik buat kami,” katanya.
Liverpool mendahului perlawanan menerusi Sadio Mane dan Mohamed Salah, namun The Blues berjaya memperoleh dua gol pantas daripada Mateo Kovacic dan Christian Pulisic untuk menamatkan perlawanan 2-2.
Bagaimanapun, Lijnders merasakan kegagalan pemain mengawal bola lebih lama menjadi antara punca kepada kejayaan Chelsea meraih dua gol.
“Saya fikir, dari aspek bertahan kami sudah pun melakukannya dengan betul tetapi masalahnya kami tidak dapat mengawal bola lebih lama ketika sedang mendahului 2-0,” jelasnya. – AGENSI