KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor bebas yang sebelum ini dituduh atas kesalahan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan sama.
Bagaimanapun tertuduh Amir Ali, 46, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Amir didakwa telah secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor.
Suapan itu adalah sebagai dorongan kepada jurutera itu untuk mendapatkan anggaran harga jabatan bagi mendapatkan kerja-kerja menaik taraf fasiliti dan kemudahan asrama pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tempat letak kereta sebuah pasaraya di Jalan Bukit Bintang di sini pada April 2021 yang didakwa mengikut Seksyen seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pwnjara 20 tahun dua puluh tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
“Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan dan melibatkan siasatan dan saksi sama. Mohon kes dipindahkan ke mahkamah di sana,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM20,000 serta syarat – syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh hakim Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 21 Disember tahun lalu.
Hakim Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin dengan mengguna pakai ikat jamin dan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam selain turut membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah di sana untuk dibicarakan bersama.
Pada 21 Disember tahun lalu, Kosmo! melaporkan Amir dan adiknya Asdi Ali, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan memberi rasuah berjumlah RM83,000.
Rasuah itu berhubung anggaran harga jabatan dan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih longkang tepi jalan di Jalan Hulu Bernam-Sungai Besar, membaik pulih menurap semula jalan-jalan serta kerja berkaitan di Kampung Seri Keledang dan SKC Jaya, Hulu Bernam dan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja berkaitan di Jalan Kampung Teratai, Sungai Choh – .K! ONLINE