‘PEPERANGAN’ Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) terus berlanjutan apabila terbaharu Astaf melarang pemain Thailand untuk menyertai saingan Liga Sepak Takraw (STL) yang dianjurkan di Malaysia pada 7 Januari ini.
Ia larangan terbaharu dilakukan Astaf selepas sebelum ini melarang pengadil perlawanan untuk mengadili saingan STL sekali gus tindakan bertali arus yang dilancarkan badan induk sepak takraw asia itu menimbulkan reaksi kurang senangan peminat sukan sepak takraw di Malaysia.
Malah, tindakan Astaf dilihat kini menjadi isu peribadi yang mahu mengheret segala penganjuran sukan yang melibatkan PSM terus ‘diganggu’ meskipun sepak takraw Malaysia itu masih sah di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Pada Mei lalu, PSM disingkir daripada menjadi ahli gabungan Astaf. Ia sekali gus menyebabkan segala bentuk kursus sama ada pengadilan atau kejurulatihan, pertandingan, seminar atau penganjuran aktiviti menggunakan peraturan, pengadil Astaf serta Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) adalah tidak dibenarkan.
Bekas pemain sepak takraw negara, Baharum Johar menyifatkan tindakan Astaf seolah-olah mahu mengucar-ngacirkan sukan sepak takraw di Malaysia.
“Setiap pentakbir mesti ada visi. Jika Astaf buat macam ini, ia adalah untuk mematikan sukan ini kehadapan. Kita sebagai negara yang unggul perlu bangkit pertahankan permainan ini dan kejohanan STL.
“Menjadi persoalan kepada saya, kenapa Astaf bertindak sedemikian? sudah pastinya, tiada memberi manfaat kepada pihak Astaf sendiri.
“Mereka tidak boleh menganjurkan kejohanan terbaik seperti ini dan ia adalah sifat kecemburuan kepada sukan kita sendiri. Mereka hanya nak tunjukan kuasa mereka sahaja,” katanya.
Pendapat sama turut diutarakan pengurus pasukan Selangor Piston, Syahril Mohd. Rashid yang menegaskan, Malaysia telah memainkan peranan terbaik dengan mewujudkan STL bagi mengembangkan sukan tersebut pada tahap terbaik.
“Gangguan yang ditimbulkan ini telah mengganggu gugat persepsi terutama penonton yang ingin tahu berkenaan sukan sepak takraw ini.
“Sepatutnya Astaf perlu menyokong bukannya menghentam. Buat apa nak kacau dan terlalu sibuk. Jadi, melalui STL ini kini berada pada tahap yang lain.
“Kerana kegoaan dan tiada kesefahaman dan ia akan merosakkan segala perancangan yang dibuat.
“Saya harap pihak Astaf dan PSM dapat berbincang mengenai masalah ini demi kebaikkan serantau. Bagi saya ini sukan sepak takraw adalah milik kita, jadi kita perlu pertahankan,” katanya.
Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz turut mengakui soal pengadil tiada menjadi masalah buat mereka kerana Malaysia memiliki barisan pengadil kebangsaan yang mencukupi bagi mengendali saingan STL.
“Mereka kena tahu bahawa di Malaysia ada pengadil peringkat kebangsaan, iaitu pengadil kelas satu hingga tiga yang akan mengadili Liga Perdana STL.
“Liga Divisyen Satu STL juga akan diadili oleh pengadil di peringkat kebangsaan. Jadi tiada masalah untuk kita menganjurkan STL,” ujarnya.