PETALING JAYA – Pelakon Eyra Hazli mengumumkan dia kini sedang hamil anak kedua dengan usia kandungan sudah memasuki lima bulan.
Eyra atau nama lengkapnya Hazirah Qasdina Hazali berkongsi berita gembira itu kepada umum menerusi sebuah video dalam Instagramnya.
Lebih istimewa, dalam video tersebut, Eyra turut membuat kejutan kepada suaminya yang merupakan penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli dan anak sulungnya dengan menyerahkan hadiah berbentuk kit ujian kehamilan.
“Awak serius ke sayang? Atau ini ujian kehamilan yang lama dulu,” soal Haziq dalam video tersebut yang seakan-akan tidak percaya isterinya kini berbadan dua.
Menerusi video sama juga, pelakon drama Nur 2 itu mengakui, kit ujian kehamilan tersebut adalah yang baru dan bukan terdahulu.
“Saya baru menggunakan kit ujian kehamilan ini sebentar tadi, hendak melompat teruja tetapi awak berada di dalam bilik berhadapan itu,” kata Eyra kepada suaminya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan kesejahteran dan kesihatan Eyra serta bayi dalam kandungan.
“Dah lama perasan kak Eyra mengandung dan akhirnya terjawab juga. Tahniah dan jaga kandungan baik-baik,” tulis netizen.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada 1 November 2019 dan majlis perkahwinan diadakan secara sederhana di sebuah masjid di Kuala Lumpur.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Hayder Qhalish yang kini berusia setahun 5 bulan. – K! ONLINE