LONDON – Kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta merasakan penyerang Liverpool, Sadio Mane wajar dilayangkan kad merah pada minit pertama perlawanan ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2 awal pagi semalam.
Bagaimanapun, insiden pada saat ke-14 melibatkan kedua-dua pemain itu gagal dikesan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Mane hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Anthony Taylor.
Walaupun tindakan Mane itu boleh ditafsirkan sebagai kelakukan ganas, pegawai yang bertanggungjawab ke atas VAR tidak meminta Taylor untuk menilai semula insiden berkenaan.
“Ia jelas kad merah. Saya tidak kisah jika insiden itu berlaku pada saat kelima perlawanan sekali pun. Saya tidak faham apabila kami terpaksa berdepan situasi seperti ini.
“Saya tidak perlu menyaksikan ulang tayang kerana saya tahu ia sememangnya kesalahan kad merah,” katanya.
Mane kemudiannya meledak gol pertama Liverpool diikuti jaringan kedua menerusi Mohamed Salah sebelum Chelsea memperoleh dua gol pantas yang dijaringkan Mateo Kovacic dan Christian Pulisic.
Dakwaan Azpilicueta turut disokong pengurusnya, Thomas Tuchel sambil menjelaskan yang Taylor adalah pengadil sama yang melayangkan kad merah kepada Reece James pada perlawanan kedua-dua pasukan di Anfield awal musim lalu.
“Jika anda masih ingat perlawanan pertama, pengadil sama jugalah yang melayangkan kad merah kepada kami.
“Saya sukakan Mane dan dia adalah pemain yang baik, namun hakikatnya insiden itu wajar dikenakan kad merah.
“Sama ada perlawanan baru berlangsung 20 saat atau pun 20 minit. Sikunya berada di muka pemain kami,” jelasnya. – AGENSI