PUTRAJAYA – Bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini turut menyaksikan ramai pemancing meraih ikan tertentu dibawa arus dari kolam ternakan atau hulu sungai.
Bagaimanapun ada spesies berkenaan merupakan ikan asing invasif yang amat berbahaya dan termasuk dalam senarai larangan diimport ke Malaysia kerana banyak implikasi buruknya.
Justeru, Jabatan Perikanan memohon orang ramai agar peka sekiranya tertangkap atau terjumpa ikan tersebut dengan tidak menyimpannya atau dilepaskan ke perairan umum.
Sebaliknya, menurutnya, masyarakat diminta segera melupuskannya kerana adalah salah membela ikan larangan di bawah Akta Perikanan 1985.
Jabatan itu dalam hantaran di Facebooknya hari ini turut memuat naik infografik imej ikan berkenaan antaranya bawal merah atau pacu, salmon, trout, arapaima, sturgeon, flower horn, silver dollar, northern pike, dragon fish dan ikan buaya.
Tidak ketinggalan ialah enam jenis piranha dari baka Serrasalmus, Serrasalmo, Pygocentrus, Catoprian, Pygopristis dan Pristobrycon serta udang galah dikenali common yabby atau Cherax.
Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, jika sabit kesalahan mengikut Peraturan Perikanan (Pindaan 2011), si pelakunya boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam tahun.
“Spesies akuatik asing berbahaya merupakan isu global kerana merentas sempadan dan boleh mengakibatkan impak negatif kepada negara di peringkat serantau,” tegas agensi berkenaan.
Ikan ini berupaya memusnah dan mengubah ekosistem yang dicerobohinya sehingga menyebabkan kepupusan spesies tempatan serta menggugat jaminan keselamatan makanan domestik.
Ia bahkan mengancam kemandirian sumber biodiversiti dan kos kerugian tinggi akibat berlaku kemerosotan sumber akuatik asli disebabkan kemasukan patogen eksotik oleh spesies asing. – K! ONLINE