SEGAMAT – Kerajaan mahu Bantuan Wang Ihsan (BWI) diberikan dengan kadar segera kepada semua ketua isi rumah yang terjajas akibat banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau tidak mahu lagi melihat terdapat mangsa banjir yang perlu menunggu lama untuk menerima bantuan terbabit seperti sebelum ini.
Beliau berkata, pemberian BWI yang lebih awal termasuk dari kerajaan-kerajaan negeri membolehkan keluarga terjejas menampung pembelian kelengkapan baharu yang mungkin rosak akibat bencana itu.
“Kita tak mahu selepas enam bulan baru dapat. Seperti dulu-dulu (ada yang) tiga hingga enam bulan baru dapat. Ada seorang mak cik maklum dia tinggalkan semua barang, dia pun tak tahu apa jadi dengan barangan di rumah tetapi memang rosaklah bila biar lama.
“Jadi kita bagi (BWI) ini terus (kepada keluarga) bagi mengurangkan bebanan mereka yang mungkin boleh beli barang keperluan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersama-sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad meninjau keadaan banjir di daerah itu termasuk singgah melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Tandong di Buloh Kasap, hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau turut percaya banyak bantuan lain akan diterima seperti kelengkapan dapur, tilam, pakaian dan sebagainya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang berhadapan isu banjir yang mendesak serta kritikal.
“Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana terdapat keperluan mendesak. Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara,” katanya.- K! ONLINE