PETALING JAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited untuk terus memberikan khidmat yang terbaik sepanjang masa bersama-sama Keluarga Malaysia sama ada daripada operasi menyelamat mahupun operasi pembersihan pasca banjir.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sikap tidak berlengah-lengah ketika bencana adalah penting bagi membantu proses menyelamat dan pemindahan mangsa menjadi lebih teratur.
“Lewat malam tadi saya dimaklumkan berkenaan situasi banjir di Segamat yang semakin buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat hingga mencecah 3,200 orang di 47 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
“Hari ini saya menyertai Unit Udara Wira Merah meninjau keadaan di sepanjang laluan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Saya juga diberitahu pasukan penyelamat di Johor bahawa proses pemindahan mangsa amat mudah dan cukup teratur. Begitu juga dengan sikap tidak berlengah-lengah ketika bencana terjadi,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, semalam.
Dalam pada itu, Reezal Merican turut melawat PPS Kampung Pudu yang menempatkan 53 orang mangsa daripada 14 keluarga dan kemudiannya menyusuri Sungai Muar ke PPS Kampung Lubuk Lanjut.
“Kampung Lubuk Lanjut dengan 26 buah keluarga dan 94 penduduk kini bagaikan sebuah pulau, terputus hubungan jalan darat. Saya telah meminta beberapa keperluan tambahan dibawa ke PPS Lubuk Lanjut ini dengan segera.
“Saya juga merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan mencemar duli berangkat menyantuni serta mengurniakan bantuan kepada rakyat yang terjejas sejak kejadian banjir ini berlaku,” ujarnya. – K! ONLINE