fbpx

Alasan Joe Flizzow jadi rapper

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE FLIZZOW

BAGAI mimpi bertukar menjadi kenyataan! Itu yang dirasai penyanyi rap tersohor tanah air, Joe Flizzow mengenai pemilihannya oleh ikon rap global, Snoop Dogg untuk terlibat dalam album terbaharu berjudul Snoop Dogg Presents The Algorithm (The Global Edition).

Melalui projek untuk pasaran antarabangsa yang menghimpunkan ramai artis hip-hop dan R&B dinaungi Universal Music Group (UMG) dari seluruh dunia, Joe atau nama lengkapnya, Johan Ishak dipilih merakamkan lagu Alright nyanyian Redman dan Method Man yang menampilkan penyatuannya dengan Nefertitti Avani.

Siapa sangka, Joe yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hip-hop tanah air, baru kali ini akhirnya dapat menjalin kerjasama dengan seorang idolanya.

Kata pelantun lagu Apa Khabar itu, dia hampir tidak percaya apabila diberitahu Snoop Dogg mengundangnya terbabit dalam projek khas tersebut.

“Apabila kerjasama ini terjadi, saya pesan kepada diri dan orang lain, jangan sesekali putus asa dalam apa yang kita impikan.

JOE FLIZZOW melihat perkembangan muzik hip-hop tanah air sebagai satu perjalanan yang ‘sihat’ apabila semakin lama, semakin khalayak mengiktiraf keberadaan genre berkenaan di Malaysia.

“Kita tidak tahu sesuatu yang dianggap mustahil, boleh jadi kenyataan.

“Saya mengikuti perkembangan kerjaya Snoop Dogg dan sangat meminatinya sejak dia debut pada 1993.

“Kita bermula sebagai penyanyi rap lebih kurang tahun yang sama iaitu sekitar awal 1990-an. Saya harus akui bahawa Snoop merupakan sebab mengapa saya jadi penyanyi rap,” kata Joe, 42.

Ketika remaja, Joe mendedahkan dia sering memakai beberapa baju yang terpapar nama dan jenama Snoop Dogg.

“Saya ada tiga baju Snoop Dogg yang diulang pakai hingga ada yang bertanya apakah saya tiada baju lain. Di sekolah, ada kawan yang panggil saya Joe Snoop,” katanya tertawa.

Joe sebenarnya pernah bertemu Snoop Dogg semasa penganjuran sebuhah konsert di Bangkok, Thailand, sekitar 10 tahun lalu.

“Selepas konsert berakhir, saya dibawa ke belakang pentas untuk bertemunya. Kami sempat merakamkan gambar. Kali kedua, saya jumpa Snoop Dogg pada sesi ‘post mortem’ anjuran DJ Uno.

“Pada mulanya, saya tidak pasti mahu pergi dan berbelah-bahagi. Namun, saya beranikan diri dan dia (Snoop) sangat peramah,” katanya.

Saat mereka bertemu di belakang pentas, idolanya itu banyak bertanya mengenai Malaysia.

SNOOP DOGG merupakan antara inspirasi terbesar Joe untuk mula berkecimpung dalam afena hip-hop. Selepas berjaya muncul dalam album terbaharu Snoop Dogg, Joe kini bekerja keras untuk membawa ikon hip-hop antarabangsa itu terlibat dalam album baharunya.

Nama Malaysia, tulis lirik

Bercerita tentang lagu Alright, Joe menulis sendiri bait lirik dendangannya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Peluang berganding dengan Method Man dan Redman biarpun melalui sesi rakaman virtual tetap menyeronokkan,” katanya.

Berjaya menjalin kerjasama dengan Snoop untuk album terbaharu penyanyi rap berkenaan, itu bermakna, Jalur Gemilang juga turut terpampang pada poster rasmi album.

Kata Joe, dia berbangga kerana dapat membawa nama Malaysia menerusi magis muzik.

“Impian saya seterusnya adalah mahu menampilkan Snoop Dogg dalam album terbaharu berjudul Johan yang akan diterbitkan tahun depan,” ujarnya.

UNTUK tahun 2022, Joe bakal muncul dengan album terbaharu berjudul Johan

Sementara itu, Snoop Dogg dalam kenyataan mengakui ramai bakat hebat bekerjasama dalam projek album kompilasinya.

“Mereka hadir dengan pelbagai gaya muzik dan memecahkan algoritma. Melalui album ini, saya beri anda sebuah perasaan bukan sekadar bunyi. Album ini sangat istimewa atas banyak sebab,” katanya.

Selain Joe Flizzow, seorang lagi penyanyi Asia Tenggara iaitu Yung Raja dari Singapura turut terpilih menjayakan album berkenaan menerusi lagu Qualified nyanyian Snoop Dogg selain menampilkan Larry June dan Oktober London.

Januari lalu, single Ciao yang diterbitkan komposer dari Singapura, Alyph turut menyaksikan Joe Flizzow berkolaborasi dengan artis hip-hop terkenal Korea Selatan, Jay Park dan MK dari kumpulan K-Clique.

JOE FLIZZOW telah dipilih secara peribadi oleh Snoop Dogg untuk ditampilkan dalam lagu Alright nyanyian bersama Redman, Method Man dan Nefertitti Avani.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI