fbpx

4 lagi kes varian Omicron dikesan penularan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kes penularan tempatan varian Omicron di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jangkitan dipercayai berpunca daripada seorang jemaah umrah yang positif Covid-19 varian berkenaan.

Menurut beliau, empat kes penularan tempatan itu antara 58 lagi kes positif Covid-19 varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Daripada 58 kes ini, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import melibatkan 39 kes dari Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

“Keputusan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 117 kes merupakan jangkitan import dari luar negara, manakala lima kes lagi merupakan penularan tempatan.

Katanya, bagi keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes bersamaan 58.2 peratus merupakan jemaah umrah.

“Hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember tahun lalu mendapati 1,220 bersamaan 68.8 peratus sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

“Daripada 1,220 kes berkemungkinan varian Omicron ini, 928 (76.1 peratus) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI