fbpx

16 premis bitcoin diserbu, rampas peralatan RM1.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mesin bitcoin yang dirampas dalam serbuan di premis di sekitar Manjung, semalam. FOTO: IHSAN PDRM PERAK

LUMUT – Sebanyak 864 peralatan untuk aktiviti perlombongan bitcoin bernilai RM1.6 juta dirampas dalam serbuan membabitkan 16 premis di sekitar Manjung sejak semalam hingga awal pagi tadi.

Serbuan Ops Lektrik TNB itu disertai 155 pegawai dan anggota polis dengan dibantu sembilan juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebanyak 47 premis di sekitar Manjung diperiksa dalam operasi bermula pukul 3 petang semalam hingga 4 pagi hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 16 premis dikesan menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita telah merampas 816 unit mesin bitcoin, 15 unit monitor, 17 Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan 16 unit router internet. Kesemua rampasan bernilai RM1.6 juta.

“Siasatan bagi semua kes itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis akan terus meningkatkan usaha termasuk menjalankan operasi dan serbuan bagi menghapuskan kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi tujuan melombong bitcoin.

“Orang ramai yang mengetahui terdapat individu atau premis melakukan kegiatan tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menerusi laporan akhbar pada 30 Disember lalu, polis berjaya menumpaskan kegiatan melombong bitcoin secara haram yang terbesar di Perak dalam satu operasi bersepadu khas di sekitar daerah Manjung.

Operasi itu melibatkan rampasan 1,720 mesin Bitcoin bernilai RM2,000 setiap satu dan pelbagai barangan lain dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3.5 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI