PUTRAJAYA – Umat Islam di negara ini terutama di Lembah Klang tidak wajar berasa ragu dengan waktu masuk azan khususnya Maghrib walaupun suasana langit masih lagi terang.
Demikian nasihat Bahagian Falak, Jabatan Mufti Selangor sebagai merujuk hantaran tular menerusi media sosial tempatan kononnya azan waktu itu adalah salah daripada kiraan sahih.
“Masyarakat Islam tidak perlu was-was untuk berpandukan jadual waktu solat fardu yang diterbitkan Jabatan Mufti di setiap negeri,” jelasnya menerusi laman sosial rasmi agensi itu hari ini.
Bulan lalu, ramai warganet berkongsi hantaran mengenai senario azan Maghrib yang didakwa konon terlalu awal ketika hari siang sebelah lewat petang masih terang dan belum senja.
Ia mencetuskan suasana bimbang terutamanya bagi mereka yang berbuka puasa sunat dengan berdasarkan azan dilaungkan tanpa mengikut panduan daripada hukum alam.
Mengulas lanjut, bahagian tersebut menegaskan bawah setiap waktu yang dihitung adalah mengikut ilmu falak melalui kajian pemerhatian bagi tempoh panjang sebelum diaplikasikan.
Ia termasuk kajian berkaitan matahari terbit dan terbenam, masa pergerakan transit dan gelincir pengukuran panjang bayang, kadar pembiasan ufuk dan tahap kecerahan langit.
“Waktu Maghrib adalah apabila matahari secara fizikal terbenam keseluruhannya di ufuk barat dan tidak melibatkan suasana keadaan kecerahan langit masa tersebut,” jelas hantaran itu. -K! ONLINE.