fbpx

Tongkang tersadai di Pantai Melawi milik syarikat Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Ismail (kiri) bersama M. Fakrul Razzi ketika meninjau sebuah tongkang yang tersadai di Pantai Melawi, Bachok, hari ini.

BACHOK – Sebuah tongkang bernilai lebih RM6 juta yang hanyut di tengah laut sebelum tersadai di Pantai Melawi di sini pada 30 Disember lalu telah dituntut oleh sebuah syarikat dari Singapura hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, syarikat perkapalan Millennium Marine Shipping (MMS) dari Singapura itu telah melantik sebuah agensi perkapalan tempatan, Jassari Arrash Ship Sdn. Bhd. (JASS) untuk membuat aduan kehilangan pengangkutan air itu.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan untuk mengesahkan kuasa agensi perkapalan yang dilantik itu bagi memastikan tongkang itu dapat dikembalikan kepada pemilik sebenar mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Siasatan lanjut mendapati, tongkang berkenaan terpaksa dilepaskan oleh bot penunda MMS selepas salah satu enjin mengalami kerosakan di perairan Tok Bali kira-kira pukul 9 malam, Khamis lalu.

“Tindakan itu terpaksa dilakukan untuk keselamatan tujuh kru bot penunda warga Indonesia selepas gagal mengawal pergerakan tongkang dalam situasi angin kencang dan laut bergelora,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tongkang tersadai di Pantai Melawi di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, tongkang berukuran 100 meter panjang itu itu ditemui anggota pasukan pemantau Op Covid-19 (Bravo 8) Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok yang menjalankan rondaan di sebuah pusat peranginan di pesisir Pantai Melawi kira-kira pukul 5.30 petang,Khamis lalu.

Sementara itu, Pengurus JASS cawangan Kelantan, M. Fakrul Razzi Muhammad ketika ditemui berkata, laporan kejadian dan kehilangan tongkang dibuat di Balai Polis Jelawat, di sini pada Jumaat lalu selepas mendapat arahan MMS untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, tongkang yang mampu mengisi muatan sehingga 5,000 tan itu sedang dalam perjalanan dari Singapura ke Songkhla, Thailand untuk mengangkut batu, namun ia terpaksa dilepaskan apabila bot penunda gagal mengendalikannya ketika dilambung ombak besar.

“Tujuh kru bot penunda mudik ke Kuala Tok Bali dan berlabuh di jeti Semerak Shipyard. Tongkang itu kini ditambat berdekatan Chalet Pantai Sri Perkasa akan ditunda ke tengah laut oleh bot tunda tempatan selepas keadaan gelora laut reda.

“Pemeriksaan tongkang akan dilakukan sebelum mengambil keputusan sama ada meneruskan perjalanan ke Songkhla atau berpatah balik ke Singapura,”ujarnya.

Menurutnya, tongkang berkenaan sering berulang-alik merentasi perairan negara untuk mengangkut batu dari Thailand malah pihak Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengambil maklum perihal yang berkaitan. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI