SEGAMAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah akan digerakkan mulai hari ini bagi membantu operasi banjir di daerah paling terkesan di sini.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bagi peringkat permulaan, Batalion 5 dan 6 PGA Briged Tengah dengan kekuatan satu platun seramai 42 anggota akan dikerahkan.
Jumlah anggota akan ditambah mengikut situasi semasa dalam misi bantuan banjir di daerah Segamat.
“Kerjasama dengan semua IPD di Johor melibatkan seramai 4,309 pegawai serta anggota berdasarkan keperluan semasa.
“Kita juga akan menggerakkan pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan sekiranya keadaan memerlukan.
“Selain itu turut berkerjasama adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba, KKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di dalam menyelamatkan mangsa yang terkandas dan memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan,”katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kok Chin berkata, 15 pegawai dan 184 anggota IPD Segamat juga ditugaskan untuk membantu mangsa lokasi banjir sekitar Segamat.
Menurut beliau, enam tangki air, 32 kenderaan lori seberat lima dan tiga tan, 50 pacuan empat roda, 10 buah ambulans, 20 bot kecil, tiga jentera digunakan di kawasan banjir.
“Kawasan yang dilihat terjejas teruk ialah Labis, Jementah, Tenang, Buloh Kasap, Bandar Segamat dan Batu Anam.
“Dalam sama yang sama kita turut memberikan tumpuan bersedia membantu di lokasi ‘hot spot’ terhadap balai polis serta kuaters kediaman anggota polis yang dinaiki air bah antaranya di Segamat, Kota Tinggi dan Tangkak,”katanya.-K! ONLINE.