KAMPAR – Sebuah papan tanda maklumat Pertempuran Kampar yang dipasang di tapak bersejarah Perang Dunia Kedua di Green Ridge di sini lesap dicuri pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad, berkata, papan tanda berkenaan dipasang pihaknya dua tahun lalu sebagai inisiatif memulihara kawasan bersejarah itu.
Menurut beliau, kehilangan papan tanda yang dipasang di tepi jalan utama Jalan Ipoh – Kuala Lumpur itu dipercayai hilang dalam minggu ini.
“Disebabkan banyak pihak yang melawat ke tapak ini menghubungi kami untuk bertanyakan tentang sejarah peperangan tersebut, maka MHG mengambil insiatif memasang sebuah papan tanda.
“Papan tanda ini lengkap menceritakan sejarah Pertempuran Kampar, peta dan gambar-gambar lama semasa Perang Dunia Kedua.
“Justeru, kejadian ini amat mendukacitakan kami apabila masih ada pihak bersikap jahat mencuri papan tanda berkenaan pada masa kita berjuang memulihara tinggalan sejarah negara,” ujarnya kepada Kosmo!
Susulan kejadian itu, satu laporan polis akan dibuat oleh pihak MHG sebagai menunjukkan bahawa kejadian sedemikian adalah serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata.
Mengulas lanjut kata Shaharom, sejak 10 tahun lalu MHG memohon supaya pihak berwajib segera menggazetkan tapak pertempuran di Green Ridge di sini sebagai tapak warisan dan pelancongan.
Katanya, ini kerana beliau khuatir tapak yang memiliki nilai sejarah yang tinggi itu akan musnah sekiranya tidak digazetkan dengan segera.
“Sebab itu kami dirikan papan tanda supaya orang ramai termasuk penduduk sekitar tahu di sini ada tapak tinggalan sejarah yang tiada bandingan,” katanya.
Tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat antara 1,500 tentera British yang turut disertai tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun.
Pertempuran yang berlaku selama empat hari empat malam pada 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942 itu menyaksikan 500 tentera Jepun terkorban. -K! ONLINE.