LONDON – Liverpool dilaporkan sedang membuat pertimbangan serius untuk mendapatkan khidmat pemain Wolverhampton Wanderers, Adama Traore pada jendela perpindahan kali ini yang boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.
Traore dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield sejak beberapa musim lalu sebelum dirinya turut dikaitkan dengan beberapa pasukan lain seperti Tottenham Hotspur dan juga gergasi La Liga, Barcelona pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, dia kini kembali dikaitkan dengan The Reds ketika Jurgen Klopp mahu menambah sengat bagi jentera serangan pasukan itu
Pada musim panas lalu, Wolves dengan tegas menyatakan pendirian mereka yang mahukan wang sebanyak £50 juta (RM282.57 juta) daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat pemain sayapnya itu.
Ketika ini, prestasi Traore dilihat tidak begitu menyerlah apabila gagal meledak sebarang jaringan ataupun melakukan umpanan gol dalam 17 aksi Liga Perdana Inggeris untuk pasukan yang dibimbing oleh Bruno Lage itu.
Musim lalu dia berjaya meledak dua gol dan dua umpanan gol dalam 37 penampilan dan Wolves kini bersedia untuk mendengar sebarang tawaran ketika kontraknya masih berbaki sehingga musim panas 2023.
Laporan terbaharu menyebut, Wolves sedia untuk menjualnya dengan harga £18 juta (RM101.73 juta) sahaja sekali gus menarik minat Liverpool untuk menjadikannya antara pemain yang mahu dibawa ke Anfield.
Klopp juga dikatakan terdesak untuk mendapatkan pemain baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Sadio Mane dan Mohamed Salah yang terpaksa beraksi dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika. – AGENSI