JOHOR BAHRU – Sebuah kilang kosong yang dijadikan pusat penyimpanan rokok seludup bernilai RM1,324,500 termasuk cukai diserbu Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Mutiara Emas, Taman Mount Austin, di sini pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan yang dilakukan pada pukul 10.30 pagi itu menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang sedang memandu keluar daripada premis itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut merupakan ahli sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai yang aktif sejak tiga bulan lalu.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang diterima. Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket berkenaan menjadikan kilang kosong itu sebagai tempat penyimpanan sementara.
“Dengan tertangkapnya suspek ini, pihak polis berjaya membuat rampasan 5,000 karton John Limited merah, 1,150 Mayor hijau dan 1,350 Mayor merah yang dianggarkan bernilai RM195,000. Anggaran nilai cukai rokok ialah RM1,129,500,” katanya pada sidang akhbar Pusat Stor PDRM, di sini hari ini.-K! ONLINE