PETALING JAYA – Penyanyi versatil Misha Omar langsung tidak berkecil hati apabila lagu hasil ciptaan sulungnya, Tanpa Rela gagal mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36).
Bercakap kepada Kosmo! Online, Misha menjelaskan, dia sudah melakukan sehabis baik pada malam Semi Final Muzik-Muzik ke-36 namun akur rezeki enggan menyebelahinya kali ini.
“Saya dah lakukan yang terbaik untuk semua peminat. Pada saya menang di hati peminat pun sudah cukup untuk buat saya bahagia.
“Waktu pengumuman itu pun jujur saya katakan langsung tidak berharap lagu Tanpa Rela terpilih untuk ke pentas akhir.
“Sebab apa yang bermain di benak fikiran waktu itu adalah untuk menguruskan anak-anak yang sudah lama bercuti dan akan mula sesi persekolahan minggu depan,” katanya.
Misha turut menyifatkan kegagalan kali ini sebagai satu perkara yang sangat positif dan bukan untuk diratapi.
“Bagi saya kegagalan ini sangat positif. Mungkin Tuhan tahu saya tidak layak dan banyak lagi perkara yang perlu saya fokuskan, jadi dia tidak beri rezeki tersebut saat itu,” ujarnya yang kini mula membuat persiapan bagi Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta 19 Februari depan.
Terdahulu, menerusi hantaran dalam Instagramnya, Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 40, turut berbesar hati kerana diberikan peluang bagi bersaing secara sihat dalam satu pentas bersama penyanyi berbakat besar lain.
“Alhamdulillah, semalam (Sabtu), Kak Mitch berpeluang berkongsi pentas dengan sekalian anak-anak seni yang berbakat dalam industri muzik kita. Meskipun lagusaya Kak Mitch tidak berjaya ke AJL36.
“Percubaan kali ini meskipun gagal, tetap akan jadi pembakar semangat yang baik untuk Kak Mitch menimba lebih banyak ilmu dalam nyanyian dan bidang penciptaan lagu. Insya-Allah.
“Doakanlah mudah-mudahan Kak Mitch boleh mencipta lagu yang lebih baik dan berkualiti pada masa akan datang,” luahnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis dilihat memberikan kata-kata semangat buat penyanyi kelahiran Kelantan itu.
“Saya menangis kenapa lagu Tanpa Rela tidak berjaya ke final (akhir). Menahan bibir dari berkata bukan-bukan. Tidak mengapa Kak Mitch sentiasa juara untuk saya! Sayang kakak!.
“Tanpa rela patut wajib masuk AJL. Tak faham macam mana pemilihan lagu ke AJL ni. Apapun Kak Mitch tetap juara di hati kami. Sayang Kak Mitch,” tulis peminat.
Sebelum ini, kecoh dalam laman Twitter terutama peminat setia Misha yang tidak berpuas hati dan kecewa apabila naskhah hit Tanpa Rela gagal mendapat tempat sekali gus mara ke pentas akhir.
Untuk rekod, 12 finalis berjaya ke pentas AJL36 antaranya Aina Abdul (Sepi), Shiha Zikir (AEWO), Haqiem Rusli (Mimpi), Siti Nordiana (Angkara), Marsha Milan (Cinta), Naim Daniel (Purnama), Ernie Zakri (Boneka) dan Yonnyboii (Salahku). – K! ONLINE