PETALING JAYA – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan pelantikan Hazman Hilmi Sallahuddin sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) yang baharu berkuatkuasa hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Hazman Hilmi sebelum ini memegang jawatan Pengarah Urusan Damansara Assets Sdn. Bhd., anak syarikat Johor Corporation dan juga Ketua Pegawai Eksekutif AMAL Malaysia Airlines, anak syarikat Malaysian Aviation Group.
Beliau juga sebelum ini pernah menjawat beberapa jawatan di Khazanah Nasional Berhad sepanjang 12 tahun dalam syarikat tersebut.
Ia termasuk memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan Khazanah Europe Investment Limited yang berpangkalan di London dan juga sebagai Naib Presiden Khazanah Turkey Regional Office di Istanbul.
Hazman Hilmi memiliki pelbagai pengalaman yang luas dalam ekuiti swasta, pelaburan modal teroka dengan fokus strategi, pelaksanaan pelaburan, rundingan perjanjian serta dalam perancangan penciptaan nilai.