fbpx

Harapan azam tahun 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

LEMBARAN 365 hari tahun 2021 telah melabuhkan tirainya de­ngan mencatatkan 1,001 ujian dan cabaran kepada kita. Bermula Mac 2020 hingga tahun 2021, dunia dilanda Covid-19.

Sehingga semalam, seramai 5.46 juta nyawa ‘ditelan’ virus Covid-19 di seluruh dunia. Sebanyak 289.65 juta kes positif dicatatkan dan di Malaysia sahaja sebanyak 2.76 juta kes direkodkan dengan 31,487 kematian.

Serangan virus koronavirus menyaksikan seluruh dunia bergelut bukan sahaja kehila­ngan nyawa malah menjejaskan sosioekonomi penghuni bumi.

Itu antara catatan sejarah 2021 yang dilihat jelas menghimpit kehidupan kita yang sebelum ini bebas melakukan apa sahaja. pandemik Covid-19

Namun kini, kita berdepan dengan cara kehidupan norma baharu bagi mengelakkan diri kita menjadi mangsa Covid-19.

Hari ini, kalender tahun 2022 memasuki hari ketiga, ramai dalam kalangan kita memasang azam untuk mencapai sesuatu yang dihajatkan sebagai landasan menghadapi cabaran tahun baharu.

Ada juga dalam kalangan mungkin masih membawa azam tahun lepas dengan membuat refleksi diri untuk diselitkan sebagai rencana perjalanan kehidupan tahun ini. Malah mungkin ada juga masih berkira-kira mencari haluan.

Pengerusi Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Prof. Dr. Fatin Aliah Phang berkata, pertama sekali setiap kalangan kita perlu ada perancangan dalam hidup untuk menghasilkan kualiti yang lebih baik.

Jelasnya, perkara yang telah berlalu perlu menjadi pengajaran untuk kita merancang dan melakar kehidupan yang lebih sempurna, memperbaharui niat, mengatur langkah yang strategik selain memastikan hala tuju dan destinasi terakhir kita adalah jelas serta boleh dicapai.

“Setelah selesai merancang dan menetapkan azam, langkah seterusnya adalah usahakan se­perti perancangan, berdoa dan kemudian bertawakal kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

“Dengan itu, hati kita akan mencapai ketenteraman kerana kita tahu apa sahaja kesudahannya sesudah usaha, doa dan tawakal, ianya adalah yang terbaik untuk kita daripada Sang Pencipta,” katanya.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Doktor Falsafah, Pengurusan Sukan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Erwan Ismail berkongsi tips untuk mendapatkan kualiti hidup lebih baik.

Jelasnya, kesihatan fizikal berperanan penting dalam menjamin kesejahteraan hidup terutamanya di kala endemik Co­vid-19.

“Penglibatan dalam sebarang aktiviti fizikal sekurang-kurang­nya 150 minit setiap minggu atau 30 minit setiap hari seperti berjalan laju, berbasikal atau ber­joging.

“Penglibatan ini dapat mengurangkan risiko non-communicable disease (NCD) seperti hipertensi, diabetes dan banyak lagi serta dapat mengekalkan tubuh badan yang ideal,” katanya.

Selain bersukan, Erwan turut mengajak kita untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kehidupan seharian, kerana gula jika diambil secara berlebihan akan mengundang risiko kesihatan termasuk obesiti, diabetes, penyakit jantung dan sebagainya.

Tambah beliau, untuk mendapatkan ‘mood’ tahun baharu yang lebih baik, luangkan masa untuk penjagaan diri dengan menyusun slot untuk melakukan aktiviti memasak sendiri di rumah, bersiar-siar, tidur yang cukup serta bermeditasi.

Memang sukar untuk kita penuhi azam baru memandangkan ia memerlukan perubahan pada rutin harian. Dengan teknik perancangan yang betul, anda boleh menunaikan azam yang diimpikan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup.

Langkah beribu batu adalah bermula dengan langkah pertama, biar ada daripada terus tiada. Selamat tahun baharu 2022.-K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI