LONDON – Ferrari mengesahkan pasukannya tidak akan mempunyai pemandu No. 1 dalam pasukan itu pada saingan musim hadapan sebaliknya memberikan peluang sama rata kepada kedua-dua pelumba mereka.
Prinsipal pasukan, Mattia Binotto mengakui mahu melihat kedua-dua pelumbanya diberikan peluang seimbang kerana menganggap ia akan memberikan manfaat lebih besar kepada pasukannya.
Binotto menyifatkan prestasi Ferrari dalam keadaan baik pada musim 2021 terutama pasukan itu mengekalkan barisan pemandu muda iaitu Charles Leclerc dan Carlos Sainz.
Justeru, Binotto mengesahkan bahawa Ferrari tidak akan mengamalkan dasar seperti kebiasaan pasukan sebelum ini yang mempunyai pemandu pertama yang memiliki kelebihan berbanding pemandu kedua dari pelbagai aspek.
“Seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini tiada pemandu kegemaran atau No.1 dalam pasukan. Segalanya akan ditentukan di dalam litar.
“Pasukan sentiasa menjadi keutamaan dan trek yang akan menentukan siapa mampu berada di hadapan. Kami tidak akan mempunyai dasar nombor satu atau nombor dua. Kami hanya akan membincangkan dari segi kedudukan apabila tiba masanya,” kata Binotto.
Pada musim 2021, pemandu baharu Ferrari, Sainz tampil memukau apabila menamatkan saingan keseluruhan di tangga kelima berbanding Leclerc yang berada di kedudukan ketujuh.
Bagaimanapun, Binotto menegaskan dia sangat gembira dengan persembahan Leclerc sepanjang musim lalu.
“Saya fikir dia (Leclerc) sentiasa pantas dalam sesi kelayakan, walaupun pada perlumbaan terakhir musim ini Sainz tampil cemerlang.
“Apapun mereka berdua telah membuktikan pemanduan terbaik sekali gus membantu pasukan mendapatkan keputusan cukup baik,” tambahnya. – AGENSI