LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji karakter dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pasukan untuk merekodkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, skuad The Citizens bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Arsenal yang bermain dengan 10 orang selepas Gabriel dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Kata Guardiola, pasukannya sudah memiliki mentaliti ampuh dengan merekodkan 11 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan prestasi tersebut memberi keyakinan tambahan buat pasukan dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga.
“Menang 11 perlawanan berturut-turut ketika mengharungi jadual yang cukup padat sepanjang bulan lalu memberi motivasi tambahan buat barisan pemain khususnya ketika pasukan lain agak bergelut dengan masalah prestasi.
“Namun, saya tidak pernah merungut meskipun pasukan kami turut dibelenggu krisis pemain yang positif Covid-19 seperti Phil Foden, Kyle Walker dan Rodri sebaliknya terus positif dan keputusan konsisten berjaya dicapai.
“Mengenai perlawanan kali ini, pasukan saya sudah memberikan yang terbaik dan bukan mudah untuk menewaskan Arsenal di gelanggang mereka dan secara peribadi, kami bernasib baik kerana mereka adalah pasukan yang lebih bagus sepanjang 90 minit perlawanan.
“Cuma, saya juga tidak ingat bila kali terakhir kami berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan dan saya akui situasi tersebut sukar buat pasukan lawan yang berjuang penuh untuk mengutip satu mata berharga,” katanya. – AGENSI