MASIH hijau dalam industri, namun jelitawan seorang ini mengakui kariernya sebagai anak seni mulai kukuh.
Tinggal lagi, dia ingin menimba lebih banyak ilmu mengenai selok-belok dunia lakonan. Itulah antara yang akan dilakukan pemilik nama penuh Nur Elisya Mohd Faisal, 23, atau lebih dikenali sebagai Elisya Sandha sepanjang tahun 2022.
Kehidupannya juga semakin menarik selepas bergelar isteri kepada pengurus produksi, Uzair Haqimy, 25, yang juga anak sulung kepada selebriti versatil, Sheila Rusly pada 21 Ogos lalu.
Ikuti temu bual HibGlam bersama adik kepada pelakon terkenal Fasha Sandha ini mengenai perancangan keluarga dan naskah-naskah yang bakal dipersembahkan untuk tahun 2022.
HIBGLAM: Dengarnya anda mengambil cuti panjang ketika ini. Ada sebarang berita gembira?
ELISYA: Ya, saya ambil cuti panjang selama sebulan kerana kurang sihat dan mahu luangkan lebih banyak masa dengan keluarga.
Bukan sebab hamil tetapi mungkin kerana terlalu banyak bekerja sebelum ini dan badan saya memerlukan rehat serta cepat kurang sihat. Apa pun doakan yang baik-baik mengenai anak ya semua.
Sebagai seorang pelakon, mesti banyak lagi perkara yang mahu anda capai, boleh kongsi?
Ya, betul masih banyak saya masih belum capai. Sebenarnya, saya masih terlalu baru dalam bidang ini. Sepanjang empat tahun bergelar pelakon, saya masih belum pernah memegang watak antagonis. Itu adalah watak yang saya teringin saya nak lakukan sejak mula bergelar pelakon.
Jadi, harapnya akan diberi kepercayaan untuk memegang watak sebegitu dalam mana-mana naskah selepas ini. Insya-Allah, tahun ini saya akan ambil peluang itu untuk menjayakan karakter antagonis.
Masih melabelkan diri sebagai pendatang baharu, apa inisiatif yang anda akan lakukan pada tahun 2022 untuk memajukan karier seni?
Banyak perancangan yang sudah tersusun untuk tahun 2022. Seperti artis baharu lain, banyak lagi perkara saya perlu belajar sebagai pelakon.
Insya-Allah jika ada peluang dan rezeki, saya akan mengambil kursus jangka pendek seni persembahan untuk menimba lebih banyak ilmu.
Khabarnya anda baru sahaja selesai mengadakan majlis resepsi di kampung halaman di Perlis baru-baru ini?
Di Perlis ialah majlis resepsi belah perempuan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan suami juga seronok dapat pulang ke kampung bertemu sanak-saudara di sana.
Selain itu, majlis juga berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun realitinya sangat susah untuk diikuti.
Namun, semuanya berlangsung dengan sangat teratur, tidak terlalu padat ditambah pula kami sudah ingatkan kepada semua supaya menjaga SOP masing-masing. Syukur semua sangat memahami situasi norma baharu ketika ini.
Boleh kongsikan tentang drama atau naskhah terbaharu anda untuk tahun 2022?
Tahun ini banyak drama yang menanti. Saya akan menyambung semula penggambaran untuk musim baharu drama Ratu Tenpin, selain Oh My Hantaran lakonan bersama Noki dan MK K-Clique yang baru sahaja bersiaran pada 29 Disember lalu menerusi TV9.