fbpx

Banjir: 40 orang dari 12 keluarga dipindahkan ke PPS Kuala Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di sekitar Jalan Sungai Nangka

KUALA LANGAT – Seramai 40 mangsa banjir daripada 12 buah keluarga telah dipindahkan ke dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ekoran hujan berterusan dan fenomena air pasang besar malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor@Saleh berkata, dalam kejadian pukul 7 malam itu telah mengakibatkan banjir kilat di kawasan Jalan Sungai Nangka dan Kampung Kelanang.

Katanya, dua PPS dibuka melibatkan Dewan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang yang menempatkan 25 mangsa banjir dan selebihnya 15 lagi individu ditempatkan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Banting.

“Hasil pemantauan dilakukan mendapati situasi terkini hujan mulai reda dan air semakin surut.

“Penduduk di daerah ini disarankan agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam tempoh empat hari sejak semalam hingga Rabu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, bilik gerakan banjir dan pusat kawalan tempat kejadian telah diaktifkan bagi menyelaras operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir.

Tambah beliau, operasi dilakukan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Justeru, penduduk setempat dinasigatkan agar sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca hujan berterusan serta mematuhi arahan berpindah ke pusat pemindahan sementara, jika perlu,” ujarnya.

Sekiranya ada sebarang maklumat dan permasalahan yang berkaitan dengan kejadian banjir, boleh hubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di talian 03-3181 3614 atau 03-3180 1213. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI