LONDON – Arsenal dilaporkan sedang mengadakan rundingan bersama penyerang Olympique Lyon, Bruno Guimares untuk dibawa ke Emirates sebagai pengganti kepada Pierre-Emerick Aubameyang.
Prestasi semasa yang agak cemerlang dipamerkan The Gunners apabila berjaya berada dalam kelompok empat pasukan terbaik menyebabkan pengendalinya, Mikel Arteta perlu membuat persediaan awal terhadap kemungkinan bahawa mereka mampu melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Sebelum itu, Arteta sedar bahawa Arsenal memerlukan pemain yang benar-benar bagus untuk memastikan mereka berjaya mengekalkan kedudukan ketika berdepan tekanan hebat daripada beberapa pasukan seperti Tottenham Hotspur, West Ham United dan Manchester United ketika ini.
Justeru, kelab yang berpangkalan di utara London itu percaya bahawa mereka perlu mendapatkan khidmat seorang pemain tengah menyerang yang benar-benar efektif dan selesa melakukan tugas termasuk menghasilkan jaringan.
Selain itu, Guimares yang merupakan pemain kelahiran Brazil sangat diminati oleh Pengarah Teknikal Arsenal, Edu yang sudah mengikuti perkembangannya sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Guimares tidak boleh dibeli Arsenal dengan harga yang murah ketika dia masih mempunyai kontrak selama dua tahun setengah lagi bersama pasukan yang berpangkalan di Stadium Groupama itu.
Guimares yang memiliki tiga kap antarabangsa setakat ini berjaya melakukan lima umpanan gol dalam 24 penampilannya musim ini.
Selain Guimares, Arsenal menamakan beberapa lagi pemain yang bakal menjadi pengganti Aubameyang antaranya Alexander Isak, Dusan Vlahovic, Dominic Calvert-Lewis dan juga Ollie Watkins. – AGENSI