fbpx

Ada ruang perbaiki F:30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUDDIN (kiri) ketika hadir menyaksikan aksi final Kejohanan Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam.

PETA Hala Tuju F:30 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bersifat ‘kebal’ dan isi kandungannya boleh ditambahbaik mengikut keperluan semasa.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak negara itu menegaskan, pada dasarnya F:30 sudah berjaya dilaksanakan dengan baik dan turut mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak boleh menafikan pelaksanaan F:30 sedikit perlahan ekoran situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sudah pasti ia sedikit perlahan kerana PKP, namun sekarang kita cuba untuk kembalikannya pada 2022. F:30 bukanlah Quran yang tidak boleh diubah dan ia akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

“Terus teranglah FIFA mengiktiraf F:30 sebagai inisiatif yang bagus, namun dalam masa sama mereka juga mencadangkan supaya ia ditambah baik. Jadi, saya nafikan jika F:30 cacamerba.

“Kita kena tengoklah… kita kena adunkan dengan kalendar dan situasi di Malaysia. Ada cadangan yang bagus, kita akan ambil,” katanya ketika ditemui pada final Kejohanan Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Kegagalan Harimau Malaya di pentas Piala AFF Suzuki di Singapura baru-baru ini menyaksikan F:30 yang dilancarkan empat tahun lalu mula dipertikaikan keberkesanannya.

Sasaran utama F:30 adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima terbaik di Asia menjelang 2030.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjadikan pelan itu sebagai salah satu simbol keseriusan badan induk tersebut.

F:30 dipecahkan kepada tiga pelan strategik yang mana fasa pertama menjurus kepada membina asas kukuh tadbir urus baik, persaingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa dua (2023-2026) disasarkan untuk mendapatkan pasukan bertaraf Asia, manakala fasa ketiga (2027-2030) adalah melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI