fbpx

73 maut, 574 cedera di Thailand menjelang Tahun Baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBANYAKAN kes kemalangan dicatatkan pada ambang Tahun Baru adalah melibatkan pemanduan secara mabuk. – Thai PBS World

BANGKOK – Pusat Pencegahan dan Pengurangan Kemalangan Jalan Raya melaporkan seramai  73 orang terbunuh dan 574 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di seluruh Thailand menjelang Tahun Baru 2022, lapor agensi berita Thai PBS World semalam. 

Kebanyakan kes dicatatkan semasa sambutan ambang Tahun Baru dan berpunca daripada memandu ketika mabuk.

Sejak bermulanya cuti Tahun Baru di Thailand pada 29 Disember lalu, sebanyak 1,906 kemalangan jalan raya direkodkan yang mengakibatkan sejumlah 226 kematian, manakala 1,894 mangsa cedera.

Kes melibatkan pemanduan laju menyumbang 35.15 peratus daripada keseluruhan kematian sepanjang tempoh tersebut, diikuti 32.06 peratus kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan 16.47 peratus lagi melibatkan jarak penglihatan yang terhad. 

Motosikal menyumbang 86.62 peratus daripada keseluruhan kemalangan yang berlaku diikuti trak pikap (5.8 peratus) dan kereta persendirian (3.71 peratus). 

Sejumlah 19.51 peratus daripada keseluruhan kemalangan itu berlaku antara pukul 9 malam hingga waktu tengah malam (waktu tempatan), 18.15 peratus antara pukul 6 petang hingga 9 malam dan 15.43 peratus antara pukul 3 pagi hingga 6 pagi.

Chiang Mai mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dalam tempoh empat hari lalu iaitu 74 kes dan jumlah kecederaan tertinggi iaitu 70 orang, namun Bangkok mencatat angka kematian tertinggi bersamaan 14 orang.

Ketua pengarah Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana, Boontham Lertsukheekasem menyarankan pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu dan berhenti rehat sekiranya mengantuk, kerana ramai yang dijangka pulang ke Bangkok dan bandar-bandar lain selepas bercuti.

Sementara itu, Polis Diraja Thailand melaporkan bahawa sepanjang tiga hari pertama cuti tersebut, pihaknya menahan seramai 198,158 orang kerana melanggar undang-undang jalan raya, termasuk 7,391 kes memandu dalam keadaan mabuk.

Timbalan ketua polis Thailand, Damrongsak Kittipraphat berkata, kes memandu dalam keadaan mabuk pada tahun ini meningkat sebanyak 75 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI