JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun ditemui meninggal dunia lebih seminggu di kediamannya di Jalan Layang 3, Taman Perling, di sini semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Syuhaidy Fazly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.57 petang.
Sehubungan itu katanya, seramai lapan anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba terpaksa membuka pintu kediaman yang berkunci menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 83 tahun ditemukan sudah meninggal dunia dipercayai sejak lebih seminggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 4.42 petang,” ujarnya.-K! ONLINE.