RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 33,040 rokok dan kretek pelbagai jenama selepas menahan seorang lelaki dalam dua serbuan di Machang hari ini.
Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.30 tengah hari di Kampung Batu 23, suspek berusia 38 tahun turut ditahan selepas didapati menyimpan sepucuk pistol angin.
Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, semasa serbuan dijalankan, anggota PGA menahan suspek sebelum menjumpai sebanyak 3,640 batang rokok pelbagai jenama di premis itu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu turut menemui sebanyak 280 batang rokok kretek.
“Pemeriksaan di tempat penyimpanan pakaian di dalam premis berkenaan menjumpai sepucuk pistol angin dan wang tunai sebanyak RM14,650 dipercayai hasil jualan rokok seludup.
“Berpandukan maklumat dan soal siasat ke atas suspek, anggota PGA telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Simpul Belubang, Machang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ku Majidin, serbuan di rumah itu telah membawa kepada penemuan sebanyak 27,200 batang rokok dan 1,920 batang rokok kretek.
Ujarnya, kesemua rampasan diserahkan kepada pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE