LONDON – Newcastle United dilaporkan percaya mereka semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Atletico Madrid, Kieran Trippier yang bakal menjadi pemain pertama ditandatangani pada jendela perpindahan bulan ini.
Pengurus pasukan itu, Eddie Howe sebelum ini memgakui bahawa Trippier merupakan sasaran utama mereka dan menjadi langkah awal dalam membina pasukan itu terutama memperkuatkan benteng pertahanan.
Pemain antarabangsa England itu juga dikatakan mahu untuk kembali ke England selain Atletico juga dilaporkan bersedia untuk mendengar sebarang tawaran untuk mendapatkan pemainnya itu yang hanya berbaki kontrak sehingga penghujung musim.
Atletico enggan Trippier meninggalkan pasukan secara percuma menyebabkan mereka bersedia untuk melepaskannya kepada pasukan yang tampil dengan tawaran yang menarik dan lebih tinggi pada jendela perpindahan kali ini.
Laporan menyebut, pemain berusia 31 tahun akan mengadakan rundingan bersama Newcastle dalam masa terdekat bagi terma peribadi terutama mengenai klausa sekiranya Newcastle tersingkir ke Liga Kejuaraan.
Newcastle ketika ini sedang bergelut di zon penyingkiran apabila berada di kedudukan kedua tercorot apabila hanya meraih 11 mata dalam 19 perlawanan musim ini.
Trippier yang pernah beraksi bersama Tottenham Hotspur dan Burnley sebelum ini pastinya tidak sanggup untuk beraksi di Liga Kejuaraan sekiranya Newcastle tersingkir menyebabkan rundingan mengenai terma berkenaan belum dapat diputuskan ketika ini. – AGENSI