BEIJING – Sistem ‘matahari buatan’ yang dibangukan China beroperasi selama 20 minit pada suhu mencecah 70 juta darjah Celsius, dalam satu eksperimen terbaharu yang dijalankan, lapor akhbar The Sun semalam.
Suhu tersebut adalah lima kali ganda lebih panas daripada matahari biasa, yang mencatatkan kira-kira 15 juta darjah Celsius pada bahagian terasnya.
Seorang penyelidik dari Institut Plasma Fizik Akademi Sains China, Gong Xianzu berkata, ‘matahari buatan’ itu beroperasi pada suhu 70 juta darjah Celsius selama 17 minit dan 36 saat.
“Operasi terbaharu itu menghasilkan asas saintifik dan eksperimen yang kukuh dalam memulakan reaktor pelakuran,” katanya.
Xianzu bertanggungjawab ke atas penyelidikan terbaharu di Eksperimen Lanjut Pengalir Lampau Tokamak (EAST), yang terletak di Institut Sains Fizikal Hefei di wilayah Anhui.
Eksperimen terbaharu yang bermula pada Disember lalu itu dijangka berakhir pada Jun depan.
Direka dan dibangunkan oleh China, EAST sejak 2006 telah digunakan oleh para saintis dari seluruh dunia untuk menjalankan eksperimen-eksperiman berkaitan pelakuran.
Sejak itu, lebih 10,000 penyelidik saintifik China dan antarabangsa bekerjasama untuk merealisasikan projek ‘matahari buatan’ itu.
Saintis-saintis berharap agar mesin tersebut dapat memanfaatkan kuasa pelakuran nuklear, yang akan menghasilkan tenaga bersih tanpa batasan dengan meniru tindak balas yang kebiasaannya berlaku di dalam matahari. – AGENSI