JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 1,646 mangsa daripada 425 keluarga membabitkan daerah Tangkak dan Segamat setakat pukul 8 pagi ini.
Peningkatan jumlah mangsa itu menyaksikan sebanyak 28 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kedua-dua daerah terbabit susulan keadaan banjir yang semakin memburuk.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 1,522 mangsa daripada 386 keluarga di daerah Segamat setakat 4 pagi semalam.
Beliau berkata, tidak ada pertambahan PPS dibuka setakat ini ekoran pertambahan mangsa banjir terbabit.
“Antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir ialah Kampung Lembah Bakti, Kampung Tenang, Kampung Paya Lang dan Kampung Jawa/Logah di Segamat.
“Sementara itu, di Tangkak pula, ia melibatkan Kampung Sri Makmur yang menjejaskan 31 mngsa yang dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan memberitahu, setakat ini, hanya satu PPS ditutup di Segamat iaitu Balai Raya Kampung Sermin yang telah ditutup pada 8.30 malam semalam.
Katanya, ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi. – K! ONLINE