AMPANG – Remaja berusia 15 tahun antara lima lelaki yang ditahan polis kerana menyamun dua warga asing serta melarikan dua buah basikal milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, remaja berkenaan bersama empat lagi rakannya ditahan dalam beberapa siri tangkapan Khamis lalu sekitar daerah itu.
Menurutnya, siasatan lanjut ke atas kesemua suspek mendapati salah seorang daripadanya mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes seksual, manakala ujian air kencing mendapati semua negatif dadah.
“Kesemua suspek kini direman selama lima hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
“Pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna biru yang disyaki digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad Farouk memaklumkan, kejadian samun berkenaan berlaku pada 23 Disember lalu di sebuah kawasan di Bandar Baru Ampang, di sini.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berusia 25 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang dua buah basikal.
“Lima suspek yang menaiki sebuah kereta telah menghalang basikal dinaiki mangsa sebelum merampas dompet mengandungi pengenalan diri dan wang tunai RM100. Suspek turut merampas basikal mangsa.
“Mangsa cuba melarikan diri namun telah ditendang oleh suspek menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan di tapak tangan. Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri,”ujarnya.-K! ONLINE