BALIK PULAU – Dua pemuda dikatakan tergamak memecah masuk ruang solat semata-mata mahu mencuri wang tabung hasil sumbangan para jemaah di sebuah masjid di kawasan Teluk Kumbar di sini pada awal pagi tahun baru.
Kelibat individu terbabit yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan berkaki ayam itu berjaya dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.
Berdasarkan perkongsian pengguna menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp komuniti, kejadian dikatakan berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi dan telah disedari jemaah yang hadir untuk mengerjakan solat Subuh.
“Rakaman CCTV mendapati 2 org lelaki telah memecah masuk ke ruang solat utama, kemungkinan bertujuan untuk mencuri duit di dalam tabung masjid.
“Kegagalan mereka mencuri di dalam masjid menyebabkan mereka cuba memecahkan tabung di tangga laluan utama ke ruang solat,” kongsi pengguna aplikasi WhatsApp tersebut.
Biarpun tidak menjelaskan tentang wang yang dicuri namun terdapat gambar yang menunjukkan kesan umpilan pada tabung masjid berkenaan.
“Laporan polis bakal menyusul pada hari ini dan segala maklumat telah disiapkan untuk diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Ini merupakan kejadian kedua yang dapat dikesan oleh pihak kariah,” kongsinya lagi. – K! ONLINE