GAZA – Israel melancarkan serangan udara ke atas selatan Gaza lewat malam semalam dengan menyasarkan kedudukan tentera pejuang Hamas selepas tembakan roket dilepaskan dari Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.
Tentera Pertahanan Israel dalam satu mesej ringkas berkata, ia kini ‘sedang melancarkan serangan di Gaza’.
“Pesawat perang Israel menyasarkan tapak Briged al-Qassam, di bahagian barat Khan Yunis di selatan Gaza,” kata seorang sumber dari Palestin.
Sumber tersebut turut melaporkan serangan artileri ke atas pangkalan pemantau Hamas di utara Gaza.
Pagi semalam, dua serangan roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza yang jatuh ke dalam Laut Mediterranean, luar pantai Tel Aviv.
Tiada siren dibunyikan, manakala sistem pintasan roket ‘Iron Dome’ Israel tidak digunakan, kata tentera Israel. – AFP