KOTA TINGGI – Bagai jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang dialami seorang ibu tunggal di Legaran Air Gemuruh, Tanjung Sedili di sini.
Hasliza Amir, 45, bukan sahaja menghidap masalah tekanan darah rendah dan sakit buah pinggang, malah dia hilang punca pendapatan selepas terjatuh sehingga lututnya mengalami masalah dan tidak lagi boleh berjalan sejak Ogos lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia mengambil tempahan masakan menggunakan kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD) di sekitar kawasan kampung.
Katanya, hasil pendapatan itu digunakan untuk menampung kos ubat-ubatan berjumlah kira-kira RM600 sebulan.
“Saya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM2,200 sebulan. Wang itu digunakan untuk rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu sejak lapan tahun lalu. Anak bongsu yang masih bersekolah pula mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150.
“Makan minum kami menggunakan duit nafkah bekas suami di samping bantuan daripada anak ketiga saya yang bekerja di kedai makan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini,
Hasliza berkata, bagaimanapun, dia perlu mencari wang tambahan sendiri untuk menampung kos ubat-ubatan terutama bagi menangani masalah tekanan darah rendah.
“Namun, sejak tak mampu berjalan, saya tidak lagi boleh mengambil tempahan makanan kerana kekangan pergerakan,” ujarnya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dalam sehari, dia terpaksa menelan 42 biji pil yang perlu dimakan bagi mengawal penyakit yang dihadapinya.
Katanya, sejak menggunakan kerusi roda untuk bergerak, anak sulungnya berusia 27 tahun yang menjaga dan menghantarnya ke pusat dialisis di Kota Tinggi.
“Anak hantar saya dengan menaiki motosikal, kira-kira 50 minit perjalanan kami ke bandar Kota Tinggi. Kami tiada kereta, hanya ada motor,” ujarnya.
Bagaimanapun, Hasliza bersyukur kerana menetap di kediaman Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan rumahnya terletak berhampiran rumah keluarga terdekat yang sering menghulurkan bantuan.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Hasliza Amir, Bank Simpanan Nasional 01200-29-000-46080-5.