KHABAR angin mengenai percintaan antara anggota kumpulan Loona, Hee-jin dan Jin-young D1CE adalah tidak benar sama sekali.
Khabar angin tersebut mula timbul selepas Hee-jin yang membuat sesi siaran langsung (live) cuba menunjukkan sesuatu kepada peminat pada tabletnya.
Namun secara tidak sengaja, dia tertekan foto lain yang secara jelas menunjukkan susuk seorang lelaki berambut perang didakwa Jin-young.
Tidak sampai beberapa jam, khabar angin mengenai dakwaan mereka sedang hangat menjalinkan cinta tersebar.
Khabar tersebut dikuatkan lagi apabila ada peminat perasan kata laluan yang dimasukkan penyanyi itu pada tabletnya yang dikatakan tarikh lahir Jin-young iaitu 970531.
Wakil agensi Loona mengeluarkan satu kenyataan rasmi sekali gus menafikan perkara tersebut.
“Mereka tidak mempunyai sebarang kenalan peribadi. Gambar tersebut adalah sepupu Hee-jin dan bukanlah Jin-young seperti yang dikatakan,” tulis kenyataan tersebut.