BELURAN – Walaupun terpaksa mengharungi banjir hampir setengah jam namun ia bukan halangan buat sepasukan anggota bomba membantu membawa jenazah seorang wanita keluar dari Kampung Rumidi Batu 8 Sapinangoh hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.06 pagi daripada orang awam bagi mendapatkan bantuan mengeluarkan jenazah berkenaan untuk diserahkan kepada pihak polis.
“Seramai empat anggota dari BBP Beluran diarahkan ke lokasi yang terletak sejauh 80 kilometer daripada balai bomba dan kawasan terbabit turut dilanda banjir.
“Wanita itu sudah meninggal dunia sejak semalam dan anggota kita bertindak mengeluarkan jenazah dari kampung berkenaan yang kini dilanda banjir.
“Anggota bertugas terpaksa menaiki bot sejauh kira-kira 20 minit sebelum tiba ke Sapinangoh,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Dalam pada itu, Rastam menyatakan jenazah kemudian dipindahkan ke kenderaan untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebaik tiba di Sapinangoh. – K! ONLINE