WATERLOO, KANADA – Jenama telefon pintar, BlackBerry akan menghentikan sistem operasi yang menyokong peranti model keluaran lamanya termasuk BlackBerry 10, 7.1 OS serta keluaran sebelum itu bermula 4 Januari ini, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Menurut syarikat itu, pemilik peranti keluaran lama yang tidak menggunakan perisian Android tidak lagi akan dapat menggunakan data, menghantar mesej teks, mengakses internet atau membuat panggilan walaupun panggilan kecemasan.
Kebanyakan pengguna telah beralih daripada menggunakan BlackBerry sejak keluaran terakhir sistem operasi yang dilancarkan pada 2013.
Langkah menghentikan sistem sokongan tersebut adalah penghujung kepada penggunaan peranti yang pernah dianggap teknologi canggih itu.
Perkara itu sebelum ini diumumkan pada September 2020 sebagai usaha untuk memberi tumpuan terhadap penyediaan perisian dan perkhidmatan keselamatan kepada perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia di bawah nama BlackBerry Limited. – AGENSI