KUALA LUMPUR – Larangan kerajaan supaya jangan berkumpul dan mengadakan majlis besar-besaran bagi menyambut tahun baharu 2022 langsung tidak diendahkan sesetengah pihak apabila tetap mengunjungi kawasan tumpuan bagi meraikan malam tersebut kelmarin.
Tinjauan di Bukit Bintang di sini mendapati, ribuan pengunjung yang sebahagian besarnya merupakan warga asing mula membanjiri kawasan itu sejak pukul 9 malam tanpa penjarakan fizikal.
Ada yang berkumpul dalam kumpulan yang kecil dan ada yang membawa keluarga masing-masing walaupun tiada acara meriah seperti bunga api dan konsert.
Seorang pengunjung Zainol Zaidan, 38, berkata, dia sekeluarga baru tiba dari Sabah dan mahu melihat suasana malam tahun baharu sekitar ibu negara.
“Saya tahu tiada sambutan, tetapi tetap mahu keluar melihat keindahan kota pada waktu malam,” katanya.
Kemarin, kerajaan memutuskan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan digantikan dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri sejak 18 Disember lalu.
Sementara itu di George Town, kawasan Padang Kota Lama menjadi sesak menjelang pukul 12 tengah malam dan orang ramai dilihat tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dengan betul.
“Saya tak sangka orang begitu ramai hingga sesak. Saya terus ajak keluarga untuk pulang kerana risau terkena jangkitan Covid-19,” kata seorang pengunjung dikenali sebagai Khairul, 38.
Wanita Indonesia, Saliha Mijahtun, 28, berkata, dia dan rakannya kecewa kerana tiada bunga api, tetapi gembira kerana dapat bertemu rakan senegara.
Di Alor Setar, kawasan tumpuan seperti dataran Masjid Zahir dipenuhi orang ramai walaupun tahu perbuatan itu dilarang oleh pihak berkuasa.
Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Nazri, 48, berkata, dia membawa keluarga kali ini selepas dua tahun tidak berbuat demikian menjelang sambutan tahun baharu.
“Anak-anak seronok kerana dapat bersiar-siar, tetapi tidak sangka orang begitu ramai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemantauan mendapati lebih 1,000 pengunjung berkumpul di situ namun tiada kompaun dikeluarkan ekoran kesemuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Di Langkawi, ramai pelancong tidak melepaskan peluang pergi ke Pantai Chenang untuk menyambut tahun baharu hingga melanggar SOP dan tidak menjaga penjarakan fizikal.
Seorang pengunjung, Atikah Husin, 21 berkata, walaupun bersesak, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat pertunjukan api yang diadakan di kawasan pantai tersebut.
“Biasalah orang ramai, sebab sekarang waktu cuti. Lagipun saya sudah lama tidak pergi bercuti dengan keluarga, jadi redah sajalah,” katanya.
Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Kevin, 35 berkata, walaupun pantai itu sesak, setiap orang perlu menjaga diri sendiri untuk mengelakkan diri daripada terkena Covid-19.
Seorang pelancong, Asyraf Alias, 32, berkata, sampai bila semua orang perlu berkurung dan takut.
“Kita dah pergi kerja, keluar makan macam biasa, jadi kenapa nak takut untuk keluar?” katanya.
Di Kota Bharu, orang ramai hanya melihat keadaan semasa paras air Sungai Kelantan ketika berkumpul di Tambatan Diraja dalam suasana hujan lebat.
Seorang pengunjung, Rahimah Mamat, 34, berkata, dia tidak tahu mengenai larangan yang dikeluarkan kerajaan.
“Saya fikir kerajaan membenarkan sambutan itu kerana sudah banyak kelonggaran diberikan lebih-lebih lagi kes jangkitan Covid-19 sudah menurun,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd. Zaki Hussin, 18, berkata, dia hadir bersama rakan-rakannya memandangkan Tambatan Diraja sudah sinonim dengan lokasi tahunan untuk sambut tahun baharu.
“Saya datang ke sini untuk makan bersama rakan-rakan. Namun tidak dapat lihat pertunjukan bunga api,” ujarnya.