PUTRAJAYA – Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan agensi berkenaan yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa kali ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.
“Selain itu, MARA turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.
“KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh ini akan dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini sambil mengekalkan simpanan KWSP masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, memahami kesengsaraan dan kerugian yang ditanggung mangsa bencana banjir, KPLB akan menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia berdasarkan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baru 2022.
Katanya, KPLB bersama lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera mengikut peruntukan sedia ada.
“Ketika ini dalam fasa pasca banjir, KPLB dan semua agensi kita sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami oleh mangsa banjir selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan kita yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting untuk membantu mangsa banjir.
“Kita juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin,” ujarnya. – K! ONLINE