KOTA KINABALU – Jumlah mangsa banjir Sabah terus meningkat kepada 717 orang pagi ini.
Setakat pukul 9.30 pagi tadi, jumlah berkenaan membabitkan 212 keluarga di lima daerah yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Lima daerah terbabit adalah Kota Marudu, Paitan, Beluran, Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu, Ranau dan Sandakan.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi ketika ini iaitu 504 orang daripada 167 keluarga.
“Semua mangsa banjir ini masih ditempatkan di tiga PPS iaitu 253 orang daripada 97 keluarga di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, 251 orang babit 70 keluarga berada di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek dan 53 mangsa melibatkan 14 keluarga kini berada di Dewan St Theresa.
“Sandakan ialah dearah kedua mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi di Sabah iaitu seramai 61 orang daripada 10 keluarga yang kini berada di PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang.
“Ia diikuti Paitan seramai 43 orang membabitkan sembilan keluarga di PPS Dewan SMK Pamol dan Dewan Kampung Binsulung,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, sebentar tadi.
Tambahnya, seramai 30 orang penduduk terjejas banjir pula sudah dipindah ke PPS Dewan Kampung Balaban Jaya bagi daerah Beluaran manakala 26 orang melibat empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Rancangan Nangoh serta Dewan Kampung Bakong-Bakong bagi daerah Telupid.
Sementara itu, Jurucakap APM Sabah memaklumkan daerah lain yang turut dilanda banjir adalah Kinabatangan, Lahad Datu dan Ranau namun setakat ini tiada PPS yang dibuka. – K! ONLINE